Latar belakang Perang_Kelang

Pada tahun 1849 atau 1850, sultan Selangor ketika itu, Sultan Muhammad Shah meletakkan jajahan Kelang di bawah jagaan Raja Abdullah. Pada tahun 1866, Raja Abdullah kemudiannya telah memajak Kelang kepada dua orang saudagar dari Negeri-Negeri Selat yang bernama W.H. Read dan Tan Kim Cheng. Kedua-dua saudagar itu kemudiannya keluar memungut cukai daripada penduduk-penduduk Kelang. Salah seorang penduduk tersebut ialah Raja Mahadi. Sebelum Raja Abdullah dilantik sebagai ketua Kelang, ayah Raja Mahadi pernah menyandang kedudukan Raja Abdullah. Keadaan ini memberi Raja Mahadi satu kedudukan yang tinggi di kalangan orang Melayu di Kelang. Oleh itu, Raja Mahadi terasa terhina apabila orang luar datang mengutip cukai daripadanya. Dengan perasaan marah, Raja Mahadi enggan membayar cukai kepada dua saudagar dari Negeri-negeri Selat tersebut.

Pada tahun 1857, Sultan Muhammad mangkat dan Sultan Abdul Samad menaiki takhta Selangor. Keluarga sultan yang baharu bersimpati dengan keadaan Raja Mahadi. Hal ini kerana Raja Abdullah bukan orang Selangor; beliau berasal dari Riau dan keluarga diraja lebih senang melihat orang Selangor memegang jawatan-jawatan tinggi di negeri sendiri. Bersama Raja Abdullah pula ialah anaknya, Raja Ismail. Sementara itu, sebahagian kumpulan-kumpulan kongsi gelap Cina memihak dengan Raja Abdullah dan sekumpulan lain berpihak kepada Raja Mahadi.